Posted on

9 Nikmat hasil Rahmat Allah (Bahagian 1)

ID-100279719

Imej ihsan dream designs di FreeDigitalPhotos.net

Terdapat pelbagai nikmat di dunia ini yang di”hadiahkan” Allah, bukti betapa tingginya kasih-sayang dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang amat mengenali kita dan Dia menciptakan kita bersama dengan apa yang kita perlukan untuk melalui liku-liku kehidupan ini. Jom kita fikir dan senaraikan nikmat-nikmat Allah ini… Berikut adalah apa yang mampu saya fikirkan ..
 
1. Diri Kita Sendiri
“Hadiah” pertama dari rahmat Allah adalah diri kita sendiri. Ia merangkumi kedua-dua zahir dan batin. Jika kita lihat anatomi tubuh badan manusia, kita akan dapati bahawa badan kita terdiri daripada pelbagai organ dari pelbagai jenis tisu dan sel yang tidak terkira banyaknya. Organ-organ ini menjalankan pelbagai fungsi yang berbeza dan menyokong sistem-sistem dalam tubuh badan kita seperti pernafasan, penghadaman, peredaran darah, deria, pembiakan dan banyak lagi .. tidak lupa juga sistem atau fungsi yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar seperti pemikiran, ingatan, emosi dan lain-lain lagi. Semua ini berjalan terus-menerus tanpa henti dan tanpa kita perlu menekan sebarang butang kawalan. Siapa yang mengawalnya? Ya, Allah … Dia yang mengawal segala sistem dalam tubuh badan kita.

2. Bekalan Oksigen Yang Tiada Henti
Badan kita memerlukan oksigen. Keseluruhan sistem akan berhenti tatkala tiada bekalan oksigen walau hanya beberapa minit atau saat sahaja. Bayangkan bagaimana jika bekalan oksigen ini seperti bekalan air bersih. Kita perlu pergi ke suatu tempat untuk mencarinya .. dan apabila kita menemuinya, kita perlu menyimpannya di dalam beg galas yang boleh dibawa kemana-mana dan cukup untuk kita sentiasa bernafas. Namun, Allah memberikan kita bekalan oksigen yang tidak pernah habis dan PERCUMA. Dari hari pertama umat manusia sehingga kini, bekalan oksigen ini cukup untuk semua manusia pada setiap saat kehidupan.

3. Dunia Yang Penuh dengan Kepelbagaian Sumber
Lihatlah di sekeliling kita, dunia kita dipenuhi pelbagai sumber. Selain oksigen, kita disediakan dengan pelbagai sumber yang lain. Air untuk minum, mandi, membasuh, membersihkan dan juga untuk menjana tenaga. Terdapat juga tumbuhan dan haiwan untuk kita makan, minum, membuat pakaian, perubatan, tempat tinggal, perabot, hiasan dan juga sebagai pengangkutan. Terdapat juga minyak, mineral, gas asli dan pelbagai sumber lain dengan kegunaannya yang tersendiri. Semua sumber ini tidak pernah habis dan cukup untuk semua umat manusia dari hari pertama hingga kini.

4. Ilmu
Memiliki pelbagai sumber tanpa mengetahui bagaimana untuk menggunakannya adalah sesuatu yang sia-sia. Hatta penduduk di zaman batu pun perlukan ilmu untuk menukarkan batu-batuan kepada peralatan, senjata dan menghasilkan api. Itulah antara sebab Allah menyediakan kita dengan deria untuk kita belajar dan menimba ilmu dari perkara-perkara di sekeliling kita. Pembelajaran berlaku secara semulajadi semenjak hari pertama kita berada di dalam rahim ibu hinggalah kita menemui ajal. Pembelajaran juga berlaku secara intrinsik atau ekstrinsik, menggunakan minda sedar atau separa sedar yang disusun oleh Allah untuk kita. Kita boleh memilih apa yang kita ingin pelajari dengan memilih material dan persekitaran, tetapi kita tidak mampu memilih untuk tidak belajar apa-apapun … kerana ia telah dicipta oleh Allah sedemikian mengikut kehendak-Nya.

… bersambung pada “entry” akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *